Pada hari ini, majlis berkhatan beramai-ramai telah diadakan di Pusat Latihan Dakwah Keningau (PLDK) melibatkan seratus lima puluh orang individu termasuk murid-murid sekolah dan juga saudara baru yang memeluk Islam.

Seramai lima puluh dua orang murid SK. Pekan Keningau II telah mengambil bahagian dalam majlis berkhatan ini. Mereka terdiri daripada murid tahun empat,lima dan enam.

Majlis berkhatan beramai-ramai ini dimulakan dengan bacaan doa seterusnya disusuli dengan taklimat ringkas kepada ibubapa dan juga upacara mandi beramai-ramai.

Majlis berkhatan pada kali ini diadakan dengan kerjasama pengamal perubatan Islam dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada warga Keningau. Adalah diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah diumumkan. Setelah sekian lama bertungkus lumus menelaah pelajaran maka tibalah saat yang dinanti-nantikan terutama bagi calon UPSR dan juga ibubapa serta guru-guru di seluruh negara.

Bagi SK. Pekan Keningau II, tahun ini merupakan tahun kedua murid-murid di sekolah ini menduduki peperiksaan UPSR. Jumlah murid yang mendapat A bagi kelima-lima matapelajaran telah meningkat kepada empat orang berbanding dua orang pada tahun lalu.

Murid yang berjaya memperoleh 5A ialah Nor Adzrin binti Pahareh, Nor Afni binti Mohd. Ali, Imraida binti Muraid dan juga Suzanne binti Jefrino.

Panitia Pendidikan Islam SK. Pekan Keningau II mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagi murid-murid yang tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan, janganlah berputus asa kerana sesungguhnya kejayaan pasti akan menjadi milik kalian juga pada masa akan datang seandainya kalian tekun berusaha untuk memajukan diri sendiri .



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini SK. Pekan Keningau II telah mengadakan majlis anugerah kecemerlangan dan penyampaian hadiah 2011. Majlis ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada murid-murid yang berjaya meraih kecermerlangan baik dalam bidang akademik mahu pun kokurikulum.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Shahmaizar b. Mamat dan dirasmikan oleh pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Keningau.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian, dikir barat,koir dan juga tarian darling-darling yang amat terkenal di kalangan masyarakat Suluk.

Murid cemerlang akademik bagi tahap dua ialah Nor Afni binti Mohd. Ali dari kelas 6 Cempaka manakala bagi murid tahap satu telah disandang oleh Muhammad Haiqal Khuzaimi Wan Shah bin Basir dari kelas 1 Cempaka.

Dalam bidang kokurikulum pula, Jominus Joseph telah dianugerahkan sebagai Tokoh Kokurikulum (Lelaki) manakala Suzanne binti Jefrino  pula dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum (Perempuan). Kedua-dua murid ini telah banyak mengharumkan nama SK. Pekan Keningau II dalam bidang sukan ragbi dan juga olahraga.

Majlis sambutan hari anugerah kecemerlangan dan penyampaian hadiah bagi tahun 2011 telah berakhir pada jam 1.30 petang.


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada 31 Oktober dan 1 November 2011, Kejohanan Sukan Peringkat Zon Pegalan telah dijalankan di Kompleks Sukan Keningau. Kejohanan ini telah disertai oleh sepuluh buah sekolah yang berada di Zon Pegalan.Pada tahun ini SK. Pekan Keningau II telah diberi amanat untuk menjadi tuan rumah bagi menjayakan acara ini.  

Bagi kategori lelaki, SK. Pekan Keningau II telah berjaya memungut pingat emas bagi semua acara yang dipertandingkan. SK. Pekan Keningau II juga telah meraih tempat pertama dalam acara perbarisan.

SK. Pekan Keningau II telah meraih kegemilangan apabila berjaya menjadi johan bagi kejohanan sukan pada kali ini catatan kemenangan sebanyak 98 %.



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/


Bulan Ramadhan yang dinanti-nanti kini tiba kembali. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T dapat kita sekali lagi menikmati bulan penuh barakah dan kelebihan ini. Semoga Ramadhan kali ini akan memberi kita rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab api neraka.

Bulan Ramadhan amat istimewa jika dibandingkan dengan bulan-bulan Islam yang lain dimana Allah S.W.T menggandakan pahala amalan sunat menyamai pahala amalan fardhu di bulan lainnya, manakala pahala bagi amalan fardhu menyamai 70 amalan fardhu yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.

Di penghujung bulan mulia ini pula, Allah dengan sifat pemurahnya telah mengurniakan satu malam istimewa yang disebut 'Lailatul Qadar' yang diberi khusus bagi umat Nabi Muhammad S.A.W.

Di kesempatan ini Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab SK. Pekan Keningau II ingin mengingatkan diri kami sendiri dan seluruh umat Islam yang lain untuk terus melipatgandakan amalan ibadat di bulan suci ini kerana mungkin ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Marilah kita berusaha untuk mengumpulkan sebanyak mungkin ganjaran pahala sebelum segalanya sudah terlambat buat kita semua.


Ya Allah, Ya Rabbi, berikanlah kami kesihatan yang baik agar dapat kami melakukan ibadat kepadaMu dengan sempurna.
Ampunilah segala dosa kami ya Allah, dan terimalah amal ibadat kami.
Sesungguhnya hanya padaMu sahajalah tempat kami bergantung harapan.
Amin ya Rabbal Alamin...



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini sambutan Hari Guru Peringkat Zon Pegalan bagi tahun persekolahan 2011 telah diadakan di Hotel Perkasa Keningau. Semua guru dan kakitangan bukan mengajar bagi sepuluh buah sekolah yang berada dalam Zon Pegalan diwajibkan hadir bagi memeriahkan lagi acara sambutan ini.

Sepuluh buah sekolah yang berada dalam Zon Pegalan ialah SK. Bulu Silou,SK. Kg. Biah, SK. Rancangan Biah, SK. Membulu, SK. Magatang, SK. Penagatan,SK. Ansip, SK. Pekan Keningau II dan SK. Menawo.

Sambutan ini dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari pihak penganjur sambutan iaitu SK. Menawo.Guru Besar SK. Menawo mengalu-alukan kehadiran semua jemputan dan tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua sekolah Zon Pegalan dalam menjayakan sambutan hari guru pada tahun ini. Beliau juga tidak lupa untuk memberi kata-kata semangat bagi semua guru untuk berkhidmat sepenuh hati bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan tinggi dan mampu bersaing di peringkat dunia.

Sambutan ini dimeriahkan lagi dengan acara cabutan nombor bertuah dan sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan futsal,bola tampar,karaoke, dart,bola sepak dan bola jaring. Sambutan Hari Guru peringkat Zon Pegalan pada tahun ini berakhir kira-kira jam 1 petang.



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini telah berlangsung satu program penting bagi seluruh warga SK. Pekan Keningau II kerana kesemua ibubapa murid diminta hadir bagi menandatangani buku rekod kemajuan murid. Rekod pencapaian ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan dalam Penilaian Kemajuan Sekolah Rendah (PKSR) bagi penggal pertama persekolahan tahun ini.

Program ini bermula pada jam 8 pagi dan telah diadakan di dua tempat yang berlainan iaitu bagi murid tahap satu,acara berlangsung di dewan terbuka manakala bagi murid tahap dua di Dewan Sri Koningau. Para ibubapa juga turut mengambil peluang untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada guru-guru terutamanya guru kelas berhubung dengan potensi diri serta masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Guru-guru turut meminta kerjasama ibubapa untuk terus memantau aktiviti anak-anak di rumah bagi memastikan proses pembelajaran mempunyai kesinambungan walau dimana murid-murid berada demi melahirkan generasi pelapis yang cemerlang dan produktif.

Bagi murid-murid yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, pihak Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan yang diraih kalian dan bagi murid-murid yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan, tingkatkan usaha anda dan bertawakallah kepada Allah S.W.T, insyaAllah kejayaan pasti akan menjadi milik anda jua suatu hari nanti.


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini sambutan hari guru peringkat SK. Pekan Keningau II telah diadakan. Sambutan ini bermula dengan bersarapan pagi di dewan makan Prasekolah SK. Pekan Keningau II. Semua guru dan kakitangan bukan mengajar (KTBM) telah dijamu dengan sarapan yang enak dan menyelerakan.

Setelah selesai bersarapan, semua warga pendidik dan KTBM menuju ke Dewan Sri Koningau untuk sesi senamrobik yang diketuai oleh Cikgu Cecilia dan Cikgu Joelene. Senamrobik ini bolehlah dianggap sebagai acara memanaskan badan untuk menempuh acara yang lebih mencabar dalam sukaneka.

Selepas bersenamrobik semua warga SKPK II bergerak ke padang untuk mengikuti acara sukaneka. Semua warga SKPK II dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan biru yang diketuai oleh Guru Besar, Encik Wahanin bin Ismail, kumpulan merah yang diketuai oleh Encik Mohammad Zahir bin Baharom selaku Guru Penolang Kanan Pentadbiran, kumpulan kuning pula diketuai oleh Puan Noveta Nismah binti Johari, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid manakala kumpulan hijau pula diketuai oleh Puan Zunani binti Hamzah selaku Guru Penolong Kanan Kokurikulum.

Antara permainan yang diadakan pada hari ini ialah bowling kelapa,pancing botol,bawa bola dalam sudu, isi air dalam botol dan timbang bola. Kesemua permainan ini berjalan dengan jayanya dan dipenuhi gelak ketawa, usikan dan gurau senda para warga SKPK II.

Selepas acara sukaneka, semua warga SKPK II kembali ke Dewan Sri Koningau untuk acara jamuan dan sesi bertukar-tukar hadiah. Sambil menikmati jamuan, semua yang hadir dihiburkan dengan nyanyian oleh pemenang Pertandingan Bintang Kecil, Adik Muhammad Razin bin Abdul Kadir dari 5 Cempaka.

Setelah selesai menjamu selera, sambutan hari guru pada kali ini diteruskan lagi dengan acara kemuncaknya iaitu sesi bertukar-tukar hadiah. Acara ini penuh gelak tawa kerana ada sebahagian guru yang memberi gambaran yang lucu mengenai penerima hadiah mereka dan diteka oleh hadirin yang lain. Sambutan ini berakhir pada jam 1 tengah hari.



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Kamu mengajar anak-anak kami
bukan sekadar A, B, C ... tetapi
kamu memberi mereka kunci - kunci
pelerai segala misteri.

kamu terus berkelipan bagai bintang-bintang di langit
walaupun sering 'kacang lupakan kulit'

kamu tersenyum gembira puas dan ikhlas
melihat kejayaan mereka dengan rezeki bergalas
kepadamu jarang dihulur walaupun seulas
namun umpama menyiram ubi di batas
kamu bernabur bakti tanpa mengharap dibalas

sesekali jika ada diantara mereka yang menyapa
bertanyakan khabar mengirim berita
gembiralah hati kamu seorang guru bersara
berbesar hati...kerana dikenang jua!

Hari ini,
izinkan kami menyusun jari, menghulur tangan
sekadar dari hati mengucapkan...

Jasamu Cikgu,
setinggi tinggi gunung...takkan sama
sedalam dalam lautan bukan bandingannya
kerana gunung yang tinggi ada puncaknya
dan lautan yang dalam ada dasarnya

darimu cikgu...
kami menerima kunci pembuka segala pintu
kami mendapat sayap menerbangi awan biru
kami menjadi insan, berfikir dan berilmu
jasamu cikgu, tidak terbalas tidak terbatas
hanya sepatah kata menghargai...dari sedalam lubuk hati
"Selamat Hari Guru, dan Terima Kasih Cikgu!"


Kepada semua warga pendidik di seluruh negara, Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab SK. Pekan Keningau II ingin mengucapkan 'Selamat Hari Guru' dan semoga kita semua akan terus gigih berusaha dalam mendidik anak bangsa selagi hayat dikandung badan. 

"GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA" 


Disediakan Oleh,

Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari ini Peperiksaan Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah bagi semester pertama telah pun bermula. Peperiksaan ini akan berakhir pada hari Jumaat bersamaan dengan 13 Mei 2011.

Bagi murid tahun satu,peperiksaan  ini merupakan satu pengalaman baru  memandangkan inilah kali pertama mereka menduduki peperiksaan secara berstruktur dalam kehidupan manakala bagi murid tahun enam  pula, peperiksaan kali ini boleh dijadikan pengukur kepada persediaan diri untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) yang bakal mereka tempuhi tidak lama lagi. 

Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab mengucapkan selamat maju jaya kepada semua murid SK. Pekan Keningau II dan semoga kalian mendapat keputusan yang cemerlang. Adalah menjadi harapan kami juga agar semua murid terus berusaha dengan tekun agar dapat meningkatkan lagi prestasi diri khususnya dalam bidang akademik.  


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari Rabu bersamaan dengan 13 April 2011, pihak Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab SK. Pekan Keningau II telah menerima kunjungan empat orang wakil dari Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Keningau.

Kunjungan ini bertujuan untuk memantau sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P),sistem fail dan juga perkembangan semua guru dalam panitia ini termasuklah guru-guru j-QAF.

Pemantauan ini sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada semua guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil PPD bagi mendapatkan maklumat dan penerangan berhubung dengan cara untuk meningkatkan prestasi murid-murid beragama Islam khususnya dalam komponen Al-Qur'an dan Fardhu Ain.

Melalui kunjungan ini juga pihak panitia telah diberi penerangan lanjut berkenaan Kem Literasi Al-Qur'an (KLAQ). Kem ini perlu diadakan bagi membimbing murid-murid yang masih lemah dan tidak mampu menguasai sehingga Iqra' 3 walaupun sudah berada di tahun lima persekolahan. Kem ini hendaklah dijalankan di luar waktu persekolahan dengan dibimbing oleh guru-guru beragama Islam yang berkelayakan dalam ilmu Al-Qur'an.

Teguran membina yang diberikan oleh wakil PPD ini telah memberi semangat baru bagi semua anggota panitia untuk terus berusaha tanpa rasa jemu bagi melahirkan insan yang berkeperibadian tinggi dan cemerlang di dunia juga di akhirat.

Kepada wakil dari PPD, kami ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala ilmu,teguran dan idea yang disarankan. Semoga segala apa yang dirancang akan mendapat restu Ilahi dan dipermudahkan  perlaksanaannya nanti.




Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/


Pada hari ini, Kem Bestari Solat (KBS) Fasa 1 bagi tahun 2011 telah diadakan di SK. Pekan Keningau II. KBS pada kali ini bermula seawal jam 7.30 pagi.Semua murid beragama Islam yang hadir pada KBS hari ini mengikuti pembelajaran masing-masing dengan tunjuk ajar dari fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada guru-guru SKPK II dan juga guru-guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.

KBS dimulakan dengan penerangan oleh fasilitator mengikut kumpulan yang diberi dan kemudiannya disusuli dengan latihan dalam kumpulan (LDK). Fasilitator yang dilantik juga bertanggungjawab untuk membuat penilaian berkenaan tahap kefahaman murid-murid secara teori dan amali. Para fasilitator juga akan mengisi borang penilaian yang disediakan bagi merekodkan prestasi murid-murid KBS pada kali ini. Dengan adanya dokumentasi sebegini, murid-murid yang lemah dan masih belum menguasai komponen utama dalam solat akan diberi bimbingan susulan di kelas masing-masing oleh guru Pendidikan Islam umumnya dan juga guru j-QAF khususnya.

Pada jam 10 pagi, semua murid dan fasilitator menjamu selera dengan jamuan ringan yang disediakan. Sejurus selepas jamuan, Kem Bestari Solat diteruskan lagi dengan sesi latihan dalam kumpulan yang ketiga.Kem Bestari Solat berakhir kira-kira jam 11.45 pagi.


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab SK. Pekan Keningau II (PAIBA SKPK II) telah menerima tiga orang lagi anggota baru. Amatlah besar harapan di hati agar dengan kehadiran Ustaz Afif bin Muslim, Ustaz Hafiz bin Murneh, Ustaz Suphian bin Ismail dan Ustazah Rahimah binti Dahlan dapat menyemarakkan lagi usaha mendidik murid-murid di sekolah ini.

Pihak Panitia juga berharap agar kita semua dapat sama-sama menyumbang serta mengembleng usaha,tenaga,pengalaman dan idea bagi memantapkan lagi metodologi pendidikan bagi memastikan ilmu Allah ini akan terus berkembang serta diamalkan oleh anak didik kita.



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Pada hari Isnin bersamaan 28 Mac 2011, satu seminar yang bertajuk 'Profesionalisme Guru' telah diadakan di Bilik Sri Koningau pada jam 2 petang.

Seminar ini telah disampaikan oleh Encik Suffian bin Saheran,pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.

Seminar ini sangat menarik minat para guru SK. Pekan Keningau II kerana pengisiannya yang amat baik disamping cara penyampaian yang bernas serta diselangi jenaka ringan.

Program sebegini sedikit sebanyak dapat mengingatkan para guru tugas dan tanggungjawab sebenar mereka terhadap murid-murid disamping menjana semula idea dan semangat untuk terus menabur bakti kepada anak bangsa.

Bagi guru-guru yang sudah lama berkhidmat, seminar ini bagaikan satu 'wake up call' yang mengembalikan semula keazaman untuk terus berusaha dalam mendidik bakal pemimpin akan datang tanpa mengenal erti jemu namun bagi guru-guru yang baru sahaja memulakan perkhidmatan, seminar ini memberi pendedahan tentang dunia keguruan yang sebenar serta persiapan-persiapan yang perlu ada dalam diri mereka bagi menjana transformasi dunia pendidikan ke arah kecemerlangan. Kesimpulannya, tidak kira masih baru atau sudah lama kita terlibat dalam profesion ini, matlamat kita tetap sama. Ayuh rakan-rakan seperjuangan ... mari kita terus mendidik dan menyemai ilmu di hati pewaris generasi akan datang. Semoga usaha ini menjadi 'pelaburan' jangka panjang yang menguntungkan untuk kehidupan kita di akhirat kelak.

Kepada Encik Suffian, terima kasih daun keladi kami diucapkan atas segala perkongsian ilmu dan pengetahuan yang diberi. Diharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.




Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Tahun 2011 merupakan tahun kedua dimana murid-murid tahun enam SK. Pekan Keningau II akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bagi meneruskan kecemerlangan prestasi tahun lalu, pihak SKPK II telah menjalankan satu program 'anak angkat' dimana setiap guru yang mengajar subjek teras tahun enam diberi tanggungjawab untuk membimbing empat atau lima orang murid manakala guru yang tidak mengajar subjek teras dipertanggungjawabkan untuk mendidik dua orang murid.

Setiap orang guru telah diberi satu fail yang mengandungi maklumat murid dan perkembangan mereka sepanjang program ini dijalankan. Tempoh waktu minimum untuk bersama 'anak angkat' masing-masing ialah selama 30 minit dan ia perlu diadakan setiap minggu. Para guru juga diingatkan untuk menyerahkan fail kepada Guru Penolong Kanan 1 pada minggu terakhir setiap bulan.

Bagi memastikan program ini berjalan dengan jayanya, semua guru perlu ikhlas dan tekun dalam membimbing 'anak angkat' mereka dan bagi pihak murid-murid pula mereka seharusnya berdisiplin serta menepati masa dalam menghadiri setiap sesi yang dirancang.

Diharap program yang julung-julung kali diadakan di SK. Pekan Keningau II ini akan memberi perubahan positif kepada semua murid tahun enam dan dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.




Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/

Pertandingan bercerita dan tilawah Al-Qur'an peringkat zon Pegalan telah diadakan pada 25 Februari di SK. Pekan Keningau II. Pertandingan ini telah disertai oleh beberapa orang peserta dari sekolah-sekolah di Zon Pegalan.

Bagi acara Tilawah Al-Qur'an (Lelaki) wakil dari SK. Menawo, Mohd. Sabri b. Mahanis telah menjadi johan dengan catatan markah sebanyak 63 peratus manakala bagi acara Tilawah Al-Qur'an (Perempuan), johan telah dimenangi oleh Nadirah Syazwani bt. Safari dengan markah sebanyak 73 peratus.

Untuk acara bercerita dari Kisah Al-Qur'an (Lelaki) tempat pertama telah dimenangi oleh mohd. Ismat Afif b. Mohd. Zali dari SK. Penagatan dengan catatan markah sebanyak 75 peratus, tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd. Fathul Azam b. Sapirin juga dari SK. Penagatan dan tempat ketiga dimenangi oleh wakil tuan rumah, SK. Pekan Keningau II iaitu Mohd. Fauzi bin Abu dengan markah sebanyak 50 peratus.

Bagi kategori perempuan pula, tempat pertama telah berjaya dimiliki oleh Shahzleyn bt. Mustakim dari SK. Penagatan dengan markah sebanyak 74 peratus manakala tempat kedua telah dimenangi oleh Nur Izzati Amalin bt. Azmi dari SK. Pekan Keningau II dengan markah 64 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Bibinovishika dari SK. Ambual dengan markah 49 peratus.


Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/
Sambutan Maulidur Rasul peringkat SK. Pekan Keningau II telah diadakan pada hari Sabtu bersamaan 18 Februari 2011. Sambutan ini merupakan salah satu acara tahunan sekolah yang disambut bagi memperingati tarikh bersejarah hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Sambutan ini dimulakan dengan perarakan oleh guru-guru,kakitangan bukan mengajar dan juga murid-murid SKPK II dari kawasan flat kediaman guru sehingga ke SJK(C) Cheng Min. Perarakan ini diiringi dengan selawat ke atas Nabi S.A.W serta paluan kompang yang diketuai oleh Ustaz Shahmaizar bin Mamat dan dibantu oleh Cikgu Wasriep bin Naiman, selaku guru pembimbing kumpulan kompang bagi sambutan ini.

Acara diteruskan dengan sesi tayangan kisah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W serta sesi bercerita oleh adik Romi bin Sami dan Nor Afni binti Mohd. Ali. Sesi tayangan telah ditutup dengan acara Kuiz Maulidur Rasul dan murid-murid yang berjaya menjawab soalan yang dikemukakan telah menerima hadiah.

Upacara sambutan ini diakhiri dengan acara penyerahan bunga telur kepada semua guru dan kakitangan bukan mengajar dan juga gula-gula kepada semua murid yang hadir. Sambutan ini berakhir kira-kira jam 1 tengah hari.



Disediakan Oleh,
Panitia Agama Islam dan Bahasa Arab

SK. Pekan Keningau II - Menuntut untuk Membina
tel.:087-333591
fax:087-333591
panitiapaiskpk2@gmail.com
http://www.paibaskpk2.blogspot.com/